BBC melaporkan, kes itu direkodkan ketika pakar me­lakukan siasatan ke atas beberapa kes penyakit misteri yang menyerang paru-paru sejumlah pesakit di AS yang merupakan penghisap rokok jenis berkenaan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) merekodkan sebanyak 193 kes berpotensi di 22 negeri AS antara 28 Jun hingga 20 Ogos tahun ini.

Pakar CDC mendedahkan, kebanyakan kes berkenaan membabitkan vape mengan­dungi THC, unsur aktif utama dalam dadah jenis ganja.

“Mangsa yang meninggal dunia dimasukkan ke hospital akibat penyakit misteri setelah menghisap rokok elektronik," kata Ketua Pegawai Perubatan daerah Illinois, Dr. Jennifer Layden.

Punca sakit misteri yang dialami mangsa gagal dikenalpasti namun berkait rapat dengan penggunaan rokok elektronik.

Ketua Bahagian Penyakit Tidak Berjangkit CDC, Dr. Ileana Arias berkata, dalam kebanyakan kes, pesakit dikesan menghisap rokok elektronik yang mengandungi THC.

Mereka yang terkesan mempunyai gejala seperti batuk, sesak nafas, keletihan, muntah-muntah dan cirit birit namun tiada sebarang bakteria atau virus yang dikesan.

Daripada semua kes yang dicatatkan, 22 daripadanya berlaku di Illinois melibatkan pesakit yang berumur antara 17 hingga 38 tahun.

Sementara itu, pihak ber­kuasa mengarahkan agar kajian makmal dilakukan terhadap cecair yang terkandung dalam rokok elektronik terlibat untuk mengesan sebarang bahan berbahaya.

Pasaran gelap bagi penjualan rokok elektronik mengandungi THC secara haram dipercayai wujud di beberapa negeri di AS. – AGENSI