Itulah saat paling sukar yang perlu dihadapi oleh ibu bapa kepada kanak-kanak perem­puan dikenali sebagai Aisha Lulu, lima tahun, selepas dia mening­gal dunia secara berseorangan di sebuah hospital di Gaza selepas menjalani pembedahan di Baitulmuqaddis yang dijajah Israel, kelmarin.

Menurut Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila, rejim Zio­nis tidak membenarkan seorang pun ahli keluarga Aisha mene­mani kanak-kanak perempuan itu yang menderita ketumbuhan otak di hospital bagi menjalani pembedahan.

Hal itu berlaku selepas permohonan keluarganya untuk menemani Aisha ke Baitulmuqaddis ditolak oleh Israel.

“Bagaimana seorang kanak-kanak perempuan yang masih kecil dibenarkan menjalani pembedahan yang besar dan sukar secara berseorangan tanpa ditemani ibu bapa atau ahli keluarganya sedangkan sokongan dan kasih sayang amat diperlukan ketika kita berdepan de­ngan saat sukar.

“Aisha terpaksa berdepan dengan detik itu secara berseorangan dan perkara tersebut terlalu sukar untuk diterima memandangkan dia hanya berusia lima tahun,” kata Mai.

Jelas Mai, keadaan itu berlaku kerana sikap berdiam diri yang diambil oleh badan antarabangsa terhadap perjanjian mengenai hak asasi manusia, hak kanak-kanak, hak kesihatan dan akses untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan.

Katanya, beliau dimaklumkan kanak-kanak perempuan itu menangis dan menjerit memanggil ibunya selepas menjalani pembedahan.

“Kemudian, Aisha kembali semula ke Gaza secara berseorangan untuk mendapatkan rawatan susulan selepas pembedahan itu berlangsung.

“Umur Aisha tidak panjang apabila dia meninggal dunia beberapa hari selepas itu tanpa dapat melihat wajah ibu bapa dan keluarganya buat kali terakhir,” ujar Mai.

Sehubungan itu, Mai menggesa semua organisasi antarabangsa di seluruh dunia untuk campur tangan bagi memboleh­kan ibu bapa menemani anak-anak mereka dari Gaza bagi mendapatkan rawatan di Israel atau Tebing Barat.

Bulan lalu, Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sebanyak 2,004 permohonan pesakit dihantar bagi mendapatkan permit dari Israel untuk melalui lintasan Erez yang terletak antara Gaza dan Israel.

Permohonan itu dibuat bagi pesakit yang ingin mendapatkan rawatan perubatan di luar Gaza, namun hanya 1,293 permohonan diluluskan manakala 74 permohonan lagi dibatalkan termasuk empat pesakit kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.

Dalam pada itu, Iceland menggunakan pertandingan nyanyian antarabangsa, Eurovision sebagai protes menentang penjajahan Israel di wilayah Palestin.

Hal ini dapat disaksikan apabila kumpulan dari negara itu, Hatari dilihat memegang kain rentang menyokong Palestin ketika keputusan pertandingan diumumkan.

Tidak terkecuali, bintang pop Madonna menggunakan pentas sama mengajak keamanan di Asia Barat apabila melekatkan bendera Palestin dan Israel pada bahagian belakang baju penari latarnya.

Semasa persembahan itu, dua penari latar berkenaan yang masing-masing memaparkan bendera Palestin dan Israel dilihat berjalan dengan berpaut antara satu sama lain.

Madonna dalam ciapannya berkata, jangan memandang rendah kuasa muzik dalam menyatukan umat manusia bersama. – AGENSI