Lapor Al-Jazeera, gambar mangsa dalam keadaan anaknya masih memeluk leher bapanya itu amat meruntun jiwa sekali gus mengingatkan tragedi yang dialami pelarian Syria, Alan Kurdi yang lemas ketika cuba mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah.

Imej itu diambil oleh wartawan, Julia Le Dun dan disiarkan dalam akhbar La Jornada di Mexico yang mengisahkan kepayahan dihadapi pendatang Amerika Tengah yang melarikan daripada kemiskinan dan kekacauan serta berharap mendapat suaka di AS.

Menurut laporan itu, Oscar Alberto Martinez Ramirez tertekan kerana keluarganya dari El Salvador tidak dapat berdepan dengan pihak berkuasa AS untuk memohon suaka lantas merentasi sungai dengan anaknya, Valeria pada Ahad lalu.

Selepas menyeberangi sungai itu bersama anaknya, Ramirez meletakkan Valeria di tebing sungai yang terletak dalam wilayah AS dan dia cuba kembali mendapatkan isterinya, Tania Vanessa Avalos.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu terjun ke dalam sungai setelah melihat bapanya cuba merentasi sungai berkenaan dan Ramirez berusaha mendapatkan semula anaknya sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus deras sungai.

Le Duc berkata, maklumat tersebut diperoleh daripada keterangan diberikan Avalos kepada polis ditempat kejadian.

Butiran insiden itu disahkan semalam oleh pegawai kerajaan Tamaulipas yang enggan dikenali dan ibu Ramirez, Rosa ketika bercakap dalam telefon dengan menantunya.

Sempadan AS-Mexico sepanjang 3,200 kilometer (km) amat berbahaya dan telah menjadi ‘lintasan maut’ antara kedua-dua negara dan dilaporkan sebanyak 283 orang pendatang maut setakat tahun lalu dan tiada lagi maklumat kematian tahun ini.

Kematian dua beranak itu mengingatkan orang ramai kepada tragedi menimpa Kurdi yang lemas di Laut Mediterranean dekat Turki.“Amat kesal dengan insiden yang berlaku ini,” kata Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador ketika diminta mengulas mengenai gambar itu.

Namun masih tiada komen langsung dari White House berhubung insiden menimpa dua beranak dari El Salvador tersebut. – AGENSI