Ironinya, Duterte, 71, yang mes­ra dengan panggilan Digong oleh penduduk tempatan dikenali ramai bukan kerana penga­ruh, sebaliknya kerana gemar meng­ungkap­kan perkataan yang sepatutnya tidak keluar daripada mulut seorang pemimpin.

Semuanya berpunca daripada keceluparan pemimpin itu apabila beliau mempertahankan kempen memerangi dadah yang dilaksanakannya di Filipina daripada dikritik beberapa pemimpin dunia.

Bagaimanapun, bagi yang tidak mengenali Duterte, rekod membanteras jenayah yang dimiliki be­kas Datuk Bandar Davao selama 22 tahun itu menjadikan beliau popular dalam kalangan rakyat Filipina.

“Jika saya menjadi Presiden, saya akan lakukan apa yang saya buat semasa menjadi datuk bandar. Anda pengedar dadah perlu keluar kerana saya akan bunuh dan campakkan mayat anda ke Teluk Manila dan menggemukkan ikan di perairan itu,” kata Duterte semasa kempen terakhir Pilihan Raya Presidennya.

Nyata platform Duterte berasaskan populis iaitu memerangi rasuah dan membanteras jenayah itu terbukti berkesan dalam memenangi hati pengundi sehingga beliau meraih kemenangan besar dalam pilihan raya.

Polis Filipina mendedahkan, sekurang-kurangnya 3,000 orang ditembak mati atau terbunuh ha­nya dalam tempoh dua bulan atau purata 44 orang dalam sehari sejak kempen antidadah dilaksanakan.

Bukan rakyat biasa sahaja, Duterte turut mengancam membu­nuh­ kakitangan awam termasuk­ be­be­rapa orang datuk ban­dar yang dipercayai terlibat dalam aktiviti da­dah.

Walaupun tindakan Duterte dianggap kejam, namun Indonesia menerusi Badan Antidadah Kebangsaan (BNN) menyatakan sokongan terhadap kempen Filipina itu yang menyifatkan langkah berkenaan dapat mengurangkan jumlah pengedar dan penagih dadah.

Duterte juga disifatkan terlalu berani untuk kehilangan soko­ngan daripada sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS) apabila beliau menggelar Presiden Amerika, Barack Obama sebagai ‘anak ha­ram’.

Cemuhan pemimpin dari Parti Demokratik Filipina-Kuasa Rakyat (PDP-Laban) itu mengakibatkan Obama membatalkan pertemuan mereka di Laos namun kedua-dua pemimpin tersebut akhirnya mengadakan pertemuan dua hari kemudian selepas Digong menyatakan kekesalan terhadap kenya­taannya.

Hal demikian kerana ketika China dan Filipina terlibat dalam tuntutan bertindih di Laut China Selatan, Manila sepatutnya perlu mengukuhkan hubungannya de­ngan Washington.

Duterte pada masa sama de­ngan lantang mengugut untuk ke­lu­ar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang di­dakwanya mencampuri urusan pen­tadbiran Filipina dalam kempen antidadah.

Malah, beliau mengugut untuk menubuhkan sebuah pertubuhan antarabangsa baharu dan akan men­jemput China serta negara-negara Afrika untuk menganggotai pertubuhan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak semua perancangan Duterte mendapat sokongan rakyat Filipina.

Rancangan beliau untuk mengkebumikan mendiang diktator Fer­di­nand Marcos di makam pah­lawan ternyata mencetuskan perbalahan politik dan perdebatan ramai di Filipina.

Sebuah kumpulan gabungan membantah rancangan itu de­ngan menyifatkan Marcos adalah individu yang mengarahkan penyeksaan dan kematian ribuan pengkritiknya.

Mungkin, Duterte sebagai Presiden baharu dan bercita-cita tinggi termasuk mahu menyelesaikan konflik de­ngan kumpulan pemisah di selatan negara itu dan kumpulan komunis perlu lebih berhati-hati dan berdiplomasi dalam kenya­taannya.

Ini terbukti apabila satu sera­ngan bom di sebuah pasar malam di Davao mengakibatkan seba­nyak 14 orang awam terbunuh, insiden yang menurut pihak berkuasa Filipina sebagai cubaan untuk membunuh Duterte.

Walaupun kumpulan militan Abu Sayyaf mengaku sebagai dalang serangan itu selepas Duterte berikrar untuk memusnahkan rang­kaian pengganas berkenaan, namun pihak berkuasa mengaitkan kejadian tersebut sebagai usa­ha balas dendam oleh kumpulan pengedar dadah terhadap kempen antidadah oleh kerajaan.