Press TV melaporkan, Hassan Salem berkata, kedutaan tersebut dilihat sering menerima pelawat daripada ejen agensi perisikan Mossad, Israel dan kumpulan pengganas Daesh.

Dakwa pemimpin itu, Kedutaan AS telah mencampuri urusan dalaman Iraq dengan mengintip, menyebarkan khabar angin dan merancang plot tertentu.

“Kedutaan AS di Baghdad te­lah bertukar menjadi pusat Mossad dan pengganas Daesh.

“Kedutaan AS mencabul dan melupakan tanggungjawab berdasarkan undang-undang antarabangsa. Itu bermakna mereka tidak boleh dipanggil sebagai kedutaan lagi dan penutupannya adalah diperlukan dan berasas,” katanya seperti dipetik daripada laman web berita al-Sumariya.

Terdahulu, Hassan mendakwa tentera AS di pangkalan tentera Ain al-Assad melindungi Ketua Daesh, Ibrahimj al-Samarrai atau dikenali Abu Bakr al-Baghdadi di padang pasir barat Iraq, wilayah Anbar.

Menurut Hassan, Abu Bakr menggunakan padang pasir Anbar sebagai tempat selamat, manakala tentera AS membekalkan dengan semua soko­ngan dari kem berkenaan.

Jelasnya, sokongan AS kepada Abu Bakr ekoran ‘ketakutan’ Washington usul sedang dirangka untuk mengusir tentera asing keluar dari Iraq yang mahu dibentangkan pada penggal Parlimen akan datang.

Selain itu, pada Februari, bekas Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki buat pertama kali mendedahkan rahsia besar mengenai sokongan AS terhadap Daesh dan membenarkan ekstremis Takfiri mendapat kuasa di Iraq agar Washington dapat kembali ke tanah Arab.

Pentadbiran bekas Presiden Barack Obama didakwa memainkan peranan penting mewujudkan Daesh dengan membenarkan kumpulan pengganas menguasai wilayah di Iraq.

Pada Mac lalu, pakar keselamatan Iraq, Abbas al-Ardawi dipetik laman web berita al-Mala’alomeh mendedahkan, Kedutaan AS di sini menjalankan langkah mencurigakan, yang digambarkan seperti bilik operasi AS-Israel bertujuan menggugat kestabilan rantau ini.

“Pentadbiran AS memberi tekanan kepada Baghdad dan membuang masa untuk memanjangkan tempoh keberadaan mereka di Iraq.

“Perpindahan pengganas dari Baqouz di timur Syria ke kem AS di Iraq bertujuan meningkat ketegangan keselamatan di negara lantas menjadi alasan untuk terus menghantar tentera ke sini,” dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi pakar keselamatan Iraq, Hafez Al-e Basharah berkata, AS cuba untuk meningkatkan pengaruh di Iraq dengan perisik Israel dan pengganas Daesh yang berada di kem-kem AS di sini.

Jelasnya, tentera AS tidak membenarkan sesiapa warga Iraq untuk memasuki kem mereka bagi menyembunyikan realiti di dalamnya daripada pandangan awam.

“Malah ejen perisikan Israel juga beroperasi dari kem-kem yang mana pengganas Takfiri juga menerima perlindungan dan latihan,” dakwanya.