Biarpun sudah hampir dua bulan berlalu, kesan bencana alam itu sehingga kini dapat dilihat di merata-rata tempat di sekitar Banten.

Itulah gambaran keadaan kebanyakan perkampungan di jajahan ini setelah dilanda tsunami pada penghujung Disember tahun lalu.

TIADA apa yang tinggal
TIADA apa yang tinggal hanya bekas tapak rumah selepas tsunami melanda penghujung Disember tahun lalu. - UTUSAN ONLINE

Baru-baru ini, EZ Qurban Sdn. Bhd. (EZ Qurban), sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan akikah dan korban di luar negara telah berkunjung ke kawasan yang terjejas bagi melihat sendiri keadaan di sana.

Menurut Pengurusnya, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin, menyedari penduduk Banten masih memerlukan bantuan, mereka tidak berlengah untuk datang menyampaikan sumbangan akikah dan juga fidyah dari rakyat Malaysia.

Katanya lagi, misi kemanusiaan kali keempat selepas yang pertama di Lombok, kedua dan ketiga di Palu dan Donggala pada penghujung tahun lalu itu adalah bagi menyampaikan sumbangan sempena kempen ‘Akikah For Banten’ yang dilancarkan sebaik sahaja Banten dilanda tsunami.

BANTUAN diagihkan kepada mangsa-mangsa tsunami
BANTUAN diagihkan kepada mangsa-mangsa tsunami Banten, Indonesia. - UTUSAN ONLINE

“Pada kempen kali ini, kita menyumbang 434 ekor kambing dan 350 kampit beras yang setiap satunya 3 kilogram di perkampungan yang terjejas teruk seperti di Ciisih, Legon Timur, Legon Tengah, Legon Barat, Cihangkasa, Kertamukti, Ciparahu, Katapang, Cipinang, dan Ciseukeut.

“Menyedari penduduk kampung di sekitar Banten serba kekurangan, untuk sumbangan kambing, kami telah siap sedia sembelih serta membungkusnya dan ini memudahkan mereka.

“Alhamdulillah kesemuanya (pengagihan kambing dan juga beras) berjalan lancar dan apa yang kami harapkan sumbangan kecil ini dapat menceriakan mereka semua,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, kempen tersebut yang dilancarkan sebaik sahaja Banten dilanda bencana mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari rakyat Malaysia.

Malah katanya lagi, sehingga kempen tersebut berakhir, pihaknya masih menerima sumbangan daripada orang ramai yang tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama membantu rakyat Banten. - UTUSAN ONLINE