Petisyen itu dikemukakan peguam Jawad Bulus bagi menggugurkan perintah penahanan serta-merta berikutan kemerosotan kesihatan anak guamnya, Khader Adnan.

Khader, 34, pembuat roti dari bandar Jenin, ditahan Israel tanpa sebarang tuduhan sejak 17 Disember lalu di bawah prosedur dikenali sebagai penahanan pentadbiran.

Dia mula melancarkan mogok sehari selepas ditahan dan dilaporkan keadaan kesihatannya semakin kritikal.

"Kami mengemukakan rayuan pagi ini dan meminta perbicaraan segera dijalankan berikutan keadaannya yang semakin serius. Kami sedang menanti jawapan mahkamah," katanya.

Petisyen tersebut dikemukakan dua hari selepas Mahkamah Tentera Israel menolak rayuan sebelum ini yang meminta arahan penahanan pentadbiran selama empat bulan itu digugurkan.

Dalam masa yang sama, beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di jalan-jalan raya bagi membantah penahanan Khader.

Bulus yang melawat lelaki tersebut kelmarin berkata, anak guamnya digari pada katil dalam keadaan sangat tidak berperikemanusiaan.

Isteri Khader yang melawatnya semalam berkata, walaupun keadaan suaminya lemah, namun semangatnya tetap tinggi dan tidak akan berhenti mogok selagi tuduhan terhadapnya tidak dinyatakan. - AFP