Menurut laman web independent.co.uk, ketika kejadian pada Ahad lalu, John Kennedy Santos Gurjao, 25, menaiki penerbangan Aer Lingus untuk perjalanan sejauh dua jam setengah tersebut.

Hasil bedah siasat mendapati, pemuda itu menelan 80 kapsul berisi dadah jenis kokain seberat 9.5 kilogram yang bernilai 41,000 pound (RM270,775), namun satu daripada kapsul tersebut pecah di dalam perutnya.

Keadaan itu menyebabkan dia menggigil dan terkena sawan kerana dos dadah berlebihan, sehingga rebah dan memaksa penerbangan dilencongkan serta mendarat cemas di Lapangan Terbang Cork, Ireland.

Menurut saksi, Gurjao turut menggigit tangan penumpang di sebelahnya semasa mengalami sawan sekali gus menyebabkan dia digari kru penerbangan.

Seorang penumpang, John Leonard dari Cork menyifatkan kematian Gurjao di dalam pesawat sebagai peristiwa yang sangat menggerunkan.

Katanya lagi, ketika itu kapten ada bertanya sama ada terdapat doktor atau jururawat dalam kalangan penumpang yang boleh membantu pemuda tersebut selepas keadaannya semakin kritikal.

“Dia mengalami sawan dan mengeluarkan bunyi yang saya tidak pernah saya dengar sebelum ini,” ujarnya.

Berita kematian lelaki itu telah dikhabarkan kepada ahli keluarganya yang menetap di Macapa, Brazil, menerusi panggilan telefon.

Ibu saudaranya, Lourdes tidak menyangka Gurjao menjadi keldai dadah, namun tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan kehidupan sukar dialami pemuda berkenaan.