Lapor The Guardian, mene­rusi rakaman kabur dari udara itu, sebuah bot tentera dilihat bergerak mendekati sebuah kapal tangki terbabit di Teluk Oman sebelum seorang indi­vidu dilihat mengalihkan se­suatu objek dari kapal berke­naan.

AS mendakwa bot peronda yang dilihat dalam rakaman itu adalah milik Pengawal Revolusi Iran yang menghampiri kapal tangki selepas ia diserang dan objek yang dialihkan itu adalah periuk api yang tidak meletup.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada kelasi Iran membuang periuk api itu dalam usaha memadam bukti ketika insiden terbabit menimbulkan ketakutan kapal-kapal tangki yang belayar di sekitar teluk tersebut.

Selain rakaman video, tentera AS turut mendedahkan sekeping gambar yang menunjukkan kerosakan yang berlaku di atas kapal-kapal berkenaan selepas diserang.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pada awalnya menuduh tentera Iran sebagai dalang serangan itu berdasarkan risikan,penggunaan senjata dan tahap kemahiran untuk menjayakan operasi tersebut.

Namun, dakwaan dibuat Pompeo itu dilihat lemah kerana ketiadaan bukti.

Teheran bagaimanapun menafikan segala tuduhan AS dan Menteri Luarnya, Javad Zarif mendakwa ada pihak cuba melakukan provokasi bagi memburukkan konflik antara Iran dan Amerika.

Serangan itu berlaku semasa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menolak mentah-mentah cadangan lanjutan rundingan AS-Iran yang dicadangkan oleh Perdana Men­teri Jepun, Shinzo Abe.

Serangan terhadap kapal Jepun, Kokuka Courageous dan Norway, Front Altair melonjakkan harga minyak dunia kepada empat peratus ketika 44 kru dua kapal berkenaan berjaya diselamatkan bot tunda Belanda sebelum mangsa dipindahkan ke kapal pemusnah USS Bainbridge.

“Kami akan mempertahankan kepentingan kami namun berperang dengan Iran bukannya kepentingan strategik kami atau masyarakat antarabangsa,” kata pejabat Pemerintah Pusat AS. –AGENSI