Di kebanyakan kawasan di India, Nepal, Bangladesh dan Pakistan, jutaan penduduk terjejas dan ratusan ribu hilang tempat tinggal.

Seorang mangsa, Anami­ka Das dari Assam, India memberitahu, dia hanya bergantung kepada sumber makanan yang sedikit dan air simpanan yang kotor.

Dia juga berdepan kesukaran untuk menyusukan bayi lelakinya.

PENDUDUK meredah banjir di Muzaffarpur, Bihar, semalam. AFP
PENDUDUK meredah banjir di Muzaffarpur, Bihar, semalam. AFP

“Kami hanya makan bubur untuk terus hidup,” katanya.

Subhas Bania, yang kini ditempatkan di penempatan sementara Amtola pula berkata, kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan untuk penyediaan bekalan air bersih.

“Kami terpaksa minum air berlumpur,” katanya.

Angka kematian akibat banjir di India meningkat kepada 100 orang setakat ini dan kebanyakan kawasan terputus hubungan.

Sementara itu di Bangladesh, kira-kira satu pertiga daripada negara itu ditenggelami air dan 59 orang maut, kata pihak berkuasa.

“Hujan lebat berlarutan sejak beberapa hari lalu menyebabkan tanah runtuh dan merosakkan rumah kami. Ramai kanak-kanak mati lemas akibat dihanyutkan arus deras malah anak saudara saya juga hanyut,” kata Sanjida Begum di Cox’s Bazar, Bangladesh. – AGENSI/AFP