Demikian didedahkan oleh seorang penyelidik bebas Jerman, Adrian Zenz mengenai etnik Uighur dan penduduk Islam lain yang kini ditahan di ‘pusat pendidikan semula’ atau ‘pusat pendidikan kemahiran vokasional’ di Xinjiang, China.

Menurut Zenz seperti dilaporkan Reuters, peningkatan jumlah itu berdasarkan kepada analisis imej satelit, peruntukan awam bagi kemudahan tahanan itu dan saksi-saksi serta waris keluarga mereka.

“Walaupun jumlah itu ha­nyalah spekulatif, tetapi dilihat bersesuaian menganggarkan sehingga 1.5 juta orang, bersamaan satu bagi setiap enam orang dewasa Muslim di Xinjiang akan atau telah ditahan, tidak termasuk penjara rasmi.

“China cuba menghapuskan kebebasan ekspresi bagi identiti etnik dan keagamaan di sana, tidak kurangnya dengan kempen sistematik penghapusan kebudayaan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang etnik Uighur Kazakh, Omir Bekali berkongsi pengalaman dan memberitahu, dia telah diseksa oleh polis Xinjiang malah ditahan selama enam bulan dalam bilik yang kecil me­nempatkan 40 orang.

“Kami perlu memuji Parti Komunis, menyanyi lagu tentang Xi Jinping (pemimpin China) dan berterima kasih kepada kerajaan. Kami tidak mempunyai hak bersuara,” jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengutuk perlanggaran hak asasi manusia oleh China yang menganiayai minoriti Muslim yang tidak pernah dilihat ‘sejak 1930-an’.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menekankan pencabulan di Iran, Sudan Selatan, Nicaragua dan China namun Beijing ‘berada dalam liga sendiri bagi perlanggaran hak asasi’.

Ketua Jabatan Negara Hak Asasi Manusia dan Biro Demokrasi memberitahu, ini merupakan salah satu perlanggaran serius hak asasi manusia di dunia pada masa kini.