Imam Shazly Khan berkata, 80 peratus kehadiran di Masjid Te Aroha, Hamilton itu sebentar tadi semuanya bukan beragama Islam.

“Orang Islam di bandar ini sangat sedikit. Majoritinya semua bukan Islam. Turut serta adalah Datuk Bandar Te Aroha dan juga orang ramai dari kawasan berhampiran. Mereka datang untuk melihat sendiri bagaimana khutbah dan solat Jumaat dilakukan sehinggakan pihak masjid terpaksa bentang tikar di luar.

“Saya perhatikan juga, ramai juga yang turut menangis ketika pak imam mengalirkan air mata. Alhamdulillah. Semoga terbuka pintu hati mereka insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Imam Shazly Khan merupakan pengasas dan pensyarah di iMuslim Academy, sebuah pusat pengajian Islam untuk orang dewasa di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Jumaat lalu, dua masjid di Christchurch, New Zealand diserang pengganas yang melepaskan tembakan rambang kepada jemaah masjid yang sedang solat Jumaat sehingga mengorbankan 50 orang jemaah.

Seorang rakyat Malaysia yang berada di tempat kejadian, Muhammad Haziq Mohd.Tarmizi, 17, maut manakala ayahnya, Mohd. Tarmizi Shuib kini sedang dirawat di hospital.

Intipati khutbah yang disampaikan Imam Shazly Khan banyak menekankan berkenaan tujuan manusia hidup di atas muka bumi.

“Allah SWT memberitahu kita bahawa Dia menciptakan kita untuk kebaikan semua orang. Dan Dia menerangkannya manfaat apabila kita mempromosi dan menyebarkan semua yang baik dan larangan dan penentangan terhadap semua yang jahat.

“Daripada surah Ali-Imran ayat 110. Anda (orang Islam) adalah yang terbaik daripada umat yang pernah dibangkitkan untuk umat manusia; kamu menyuruh Al-Ma’ruf (semua yang baik) dan melarang Al-Munkar (semua kejahatan), dan kamu beriman kepada Allah.

“Islam menggariskan, membolehkan, memberi kuasa dan memacu tindakan kita. Aksi yang berasaskan kepercayaan dan ideologi yang kuat sentiasa lebih kuat dan lebih lama bertahan, terutama melalui kesusahan,” katanya yang membaca khutbah Jumaat sempena seminggu kejadian keganasan di Masjid di Christchurch hari ini. - UTUSAN ONLINE