Lapor Saudi Gazette, mereka memuji kualiti perkhidmatan yang disediakan Arab Saudi itu di beberapa lapangan terbang termasuk Islamabad, Kuala Lumpur, Sukarno Hatta di Jakarta dan Shah Jahal di Dhaka yang memendekkan masa kesemua prosuder kepada beberapa minit sahaja.

Dalam kenyataan kepada Saudi Press Agency (SPA), jemaah haji mengucapkan penghargaan kepada Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Muhammad bin Salman kerana menjaga dua masjid suci dan perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah.

Jemaah Malaysia, Muhammad Sarula berkata, mereka diberikan sambutan mesra pihak berkuasa Arab Saudi yang me­nunjukkan rasa kasih dan hormat Riyadh kepada semua Muslim.

“Inisiatif ‘Makkah Road’ yang dilancarkan Arab Saudi empat tahun lalu dan dilaksanakan secara berperingkat telah memudahkan prosedur pelepasan dari negara kami,” katanya.

Jemaah Pakistan, Rahizan Abdulrahmah berkata, inisiatif itu memudahkan prosedur perjalanan dari lapangan terbang dalam cara yang tersusun dan lancar.

“Sejurus tiba di Arab Saudi, kami tidak perlu melalui banyak prosedur sehingga kami tiba di tempat penginapan yang disediakan buat jemaah,” katanya.

Seorang jemaah dari Bangladesh, Aziz Dan melahirkan kegembiraannya dengan kemudahan dan keselesaan dialami nya sejurus sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Muhammad Bin Abdulaziz.

“Selain layanan mesra dan pemberian cenderamata, bunga ros dan air zamzam, kami diberikan perhatian sewajarnya oleh pegawai Arab Saudi yang turut membantu membawa bagasi kami ke bas,” katanya.– AGENSI