Persoalan sama turut diajukan kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana, yang berkata masih belum pasti sama ada Kalimantan menjadi pilihan peme­rintah, terutama Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Namun beliau melihat tindakan tersebut banyak memberi kesan positif kepada Malaysia selain Indonesia.

“Saya tidak pasti isunya (sama ada pindah) ke Kalimantan atau sebaliknya. Bagi saya, baik dan sangat positif untuk Malaysia serta Indonesia.

“Positif kerana perbatasan (sempadan) dengan Malaysia itu (dekat) dengan Sabah dan Sarawak. Ini memudahkan untuk memacu pembangunan antara kedua-dua negara,” katanya ketika sesi soal jawab dalam majlis perjumpaan media di Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri wakil-wakil media tempatan dan Indonesia termasuk Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami).

Isu perpindahan pusat pemerintahan negara ke Kali­mantan bakal diumumkan Jokowi selepas mengambil kira fakta hampir 60 peratus daripada 260 juta rakyat Indonesia tinggal di Jawa dan aktiviti ekonomi bertumpu di situ.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keberkesanan perjalanan Komuniti ASEAN setakat ini, Rusdi yang juga pengusaha industri penerbangan terkenal Indonesia secara peribadi memberitahu, pembentukan komuniti itu hanyalah sekadar slogan dan tidak diuruskan secara serius.

“Seharusnya Komuniti ASEAN itu berjalan secara ekonomi. Contohnya, Indonesia tidak boleh berdiri sendiri, Malaysia tidak berdiri sendiri. Komuniti ASEAN mesti bergerak dalam memberikan keuntungan antara negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau sekali lagi melahirkan harapan kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan akses pendidikan yang lebih luas kepada anak-anak pekerja republik itu yang berkhidmat di negara ini terutamanya di Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, melalui pusat pendidikan komuniti atau CLC, pihaknya dapat membantu memberikan pendidikan kepada anak-anak Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah di negara ini.

“Setakat ini CLC sudah ada lebih 200 buah di Sabah dan Sarawak. Cuma di Semenanjung Malaysia, kita belum dapat kelulusan untuk menubuhkannya. Saya berharap kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan permohonan ini,” katanya.