JAMES LOVELOCK
JAMES LOVELOCK 

Lapor portal Daily Mail, ahli sains, alam sekitar dan futuris, James Lovelock menggambarkan akan berlaku era ‘Novacene’ iaitu zaman baharu yang mana manusia mungkin tidak lagi diperlukan dan boleh digantikan de­ngan mesin teknologi pintar.

“Keunggulan manusia sebagai pemahaman utama kosmos semakin berakhir.

“Malah, pihak yang memahami masa depan bukan lagi merupakan manusia tetapi apa yang saya pilih untuk menggelarnya sebagai ‘cyborg’ yang akan mereka cipta dan membina secara sendiri,” kata Lovelock dalam buku terbaharu berjudul Novacene seperti dilaporkan oleh NBC.

Dalam buku tersebut, Lovelock turut menjelaskan perubahan itu tidak semestinya berlaku secara ganas mahupun seperti dalam filem Terminator, namun sebaliknya akan menjadi lebih evolusi.

Jelasnya, tidak seperti perubahan didorong secara biologi pada masa lalu, makhluk organik akan kurang memberi tumpuan dalam bidang teknologi.

“Saya berpandangan cyborg sebagai pemerintah kehidupan yang lain. Mereka mampu mencapai kedudukan sama seperti manusia,” katanya.

Tambah Lovelock, proses tersebut sedang berjalan menerusi sistem kepintaran buatan (AI) yang canggih seperti yang dibangunkan oleh Google.

Beliau memberitahu, sistem pintar seperti AlphaZero, yang dicipta oleh syarikat DeepMind dan mampu terus memperbaiki diri mereka secara sendiri, dilihat sebagai elemen penting ke arah kewujudan Novacene.