Reuters melaporkan, demons­trasi yang disertai kira-kira satu juta penduduk, rata-rata golongan muda mengejutkan bandar raya termahal di dunia ini, sekali gus membangkitkan kemarahan Beijing.

Rata-rata penduduk muda yang ditemui Reuters baru-baru ini menzahirkan kekecewaan dengan keadaan mereka yang terpaksa ‘disumbat’ dan berkongsi ruang kecil di rumah orang tua mereka.

Malah impian untuk memiliki sebuah rumah yang selesa di bandar raya ini hanya sekadar mimpi.

Seorang guru sekolah rendah, Eunice Wai, 30, membe­ritahu, kerajaan China menyekat pergerakan penduduk Hong Kong menerusi pelbagai kawalan dan hanya memberi sedikit kebebasan.

“Misalnya, dasar perumahan di sini sememangnya tidak adil kerana hanya membuatkan orang kaya menjadi semakin kaya dan sebaliknya. Syarikat-syarikat hartanah pula mengawal pasaran dan tidak memberi kami peluang untuk memiliki sebuah rumah flat sekalipun,” katanya.

Sementara itu, Fung Cheng, 25, seorang pereka grafik yang juga terpaksa menumpang rumah ibu bapanya seperti Eunice menuduh keseluruhan sistem politik sebagai bermasalah.

“Mana ada demokrasi di sini, mereka tidak perlu diundi sebagai kerajaan,” jelasnya.

Seorang graduan, Michael Ho yang berusia 24 tahun, menyifatkan adalah sesuatu yang sia-sia bagi anak-anak muda untuk berjaya dalam kerjaya mereka kerana masalah kos hidup di sini tidak akan selesai.

Katanya, secara purata, setiap seorang individu terpaksa menunggu kira-kira lima tahun lima bulan untuk mendapatkan sebuah rumah yang mempunyai ruang tamu sebesar 40 meter persegi.

“Adalah lebih baik berputus asa sahaja dan berpindah ke satu tempat yang lain,” jelasnya.

Rata-rata mereka menuduh campur tangan China ke atas Hong Kong menyebabkan hidup mereka merana di bumi sendiri.

Namun begitu, China menafikan wujudnya campur tangan ke atas negara yang mempunyai populasi kira-kira 7.4 juta orang itu.

Dalam isu yang berkaitan, Channel News Asia melaporkan, Setiausaha Luar United Kingdom, Jeremy Hunt turut me­ngutuk pendekatan China ter­hadap wilayah pentadbiran khas republik itu.

Beliau juga mendesak Beijing supaya tidak menggunakan isu protes sebagai alasan untuk terus menindas penduduk Hong Kong dan pada masa yang sama memberi amaran yang China berkemungkinan perlu berdepan dengan ‘akibat yang serius’ sekiranya melanggar perjanjian yang dibuat dengan London beberapa dekad lalu.