Perbicaraan tersebut dilihat sebagai satu lagi masalah dalam keluarga Netanyahu yang kini dibelenggu pelbagai dakwaan termasuk Benjamin dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah dan berkemungkinan dipaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Israel.

Namun, keluarga itu menyifatkan kesemua dakwaan tersebut sebagai usaha untuk mencemarkan nama baik mereka.

Sara yang kini berusia 59 tahun didakwa melakukan penipuan dan pecah amanah pada Jun lalu, dengan pendakwa raya menuduh beliau menyalahgunakan dana negara bagi membayar makanan yang ditempah bernilai AS$100,000 (RM414,730)

Dalam pertuduhan, beliau didakwa sengaja menipu dengan memaklumkan tiada sebarang proses memasak dilakukan di kediaman rasminya dan keadaan itu berlangsung selama tiga tahun dari 2010 hingga 2013.

Menurut kertas pendakwaan, kesemua makanan tersebut ditempah daripada pelbagai premis makanan terkenal di Baitulmuqaddis termasuk menu dari restoran Itali, Asia Barat dan sushi.

Selain itu, Sara turut didakwa mengambil wang tunai daripada deposit botol kosong yang dikembalikan dan bersikap kasar terhadap pekerjanya.

Pada 2016, mahkamah mengarahkan supaya ganti rugi berjumlah AS$47,000 (RM194,924) dibayar kepada bekas penjaga kediaman yang menuduh Sara dan suaminya berulang kali mengasarinya. – AFP