Dalam kejadian tembakan dua rakyat Jordan terbunuh dan seorang warga Israel cedera selepas pengawal keselamatan kedutaan Israel menembak penyerang yang didakwa cuba menyerangnya de­ngan pemutar skru di perkara­ngan bangunan itu di Amman.

Jordan adalah penjaga rasmi tapak suci umat Islam di Baitulmaqdis.

Insiden berkenaan dilihat ba­kal menjejaskan hubungan ne­gara Israel dengan Jordan apabila negara Yahudi itu enggan menyerahkan seorang pengawal keselamatan yang cedera dalam kejadian tersebut untuk disoal siasat atas alasan dilindungi di bawah kekebalan diplomatik me­ngikut Konvensyen Vienna.

Setakat ini tidak jelas sama ada kejadian berkenaan mempunyai hubungan dengan tindakan Israel mengenakan langkah keselamatan lebih ketat terhadap umat Islam yang mahu memasuki Masjid Al-Aqsa.

Sementara itu, portal Press TV melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang penduduk Palestin ce­de­ra setelah bertempur dengan polis Israel di luar perkarangan Masjid Al-Aqsa di Kota Lama Baitulmaqdis, malam tadi ketika membantah pemasangan lebih banyak kamera keselamatan di pintu masuk masjid.

Pihak berkuasa Israel juga membayangkan bahawa mereka mungkin melonggarkan langkah keselamatan selepas pemasangan pengesan logam di pintu masuk susulan serangan membunuh dua anggota polis Zionis.

Ketua Cogat, agensi di bawah kementerian pertahanan yang bertanggungjawab bagi hal eh­wal awam di wilayah Palestin, Mejar Jeneral Yoav Mordechai berkata, perubahan dasar kerajaan dalam isu itu adalah satu kemungkinan.

“Kami sedang mengkaji kepada opsyen lain dan alternatif yang dapat memastikan keselamatan,” katanya kepada Al-Jazeera.

Pada masa sama, Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilapor akan mengadakan rundingan tertutup hari ini berhubung keganasan yang semakin meningkat itu.

Seorang pembantu kanan Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Jason Greenblatt dijangka tiba di Israel hari ini dalam usaha meredakan ketegangan berhubung isu keselamatan baharu di Masjid Al-Aqsa yang berlanjutan lebih daripada seminggu.

Sementara itu, Pertubuhan Ker­jasama Islam (OIC) hari ini memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan provoka­sinya yang menghiris perasaan umat Islam di seluruh dunia.

OIC yang mengutuk kesemua tindakan haram Israel sejak 14 Julai lalu sehingga mengubah status quo sedia ada, akan mengadakan perbincangan di Istanbul, Turki minggu depan selepas keganasan di Baitulmaqdis pada hujung minggu lalu meragut lapan nyawa. – AGENSI/AFP/REUTERS