Portal Press TV melaporkan, serbuan tentera Israel itu berlaku ketika umat Islam sedang menunaikan solat Subuh di masjid ketiga paling suci oleh umat Islam dan juga dituntut oleh penganut Yahudi.

Keganasan berlaku apabila tentera Israel menyerang penduduk Palestin dan melepaskan tembakan peluru getah serta bom tangan pegun ke arah kumpulan penduduk Palestin.

Bagaimanapun, masih tiada maklumat berhubung jumlah mangsa yang cedera.

Keganasan itu berlaku sehari selepas Pengarah Masjid al-Aqsa, Sheikh Omar al-Kiswani berkata, sekurang-kurangnya 35 orang penduduk Palestin cedera apabila hampir 250 tentera Israel mengiringi sekumpulan pendatang haram Yahudi menyerbu masjid itu sebelum bertempur dengan penduduk Palestin.

Menurutnya, tentera Israel memukul penduduk Palestin yang sedang beribadat dengan kayu baton, menutup pintu Gereja al-Qibli dan melepaskan tembakan peluru getah serta gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin yang membantah tindakan penduduk Yahudi mencemar kesucian masjid tersebut.

Berpuluh-puluh anggota pasukan keselamatan Israel dilapor mengepung perkarangan masjid dan memantau pergerakan masuk dan keluar penduduk Palestin ke Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis Timur.

Penduduk Palestin berang dengan peningkatan keganasan oleh pendatang haram Yahudi di perkarangan Masjid al-Aqsa dan mendakwa Tel Aviv cuba mengubah status quo tanah suci berkenaan.

Hampir 220 penduduk Palestin terbunuh di tangan tentera Israel sejak keganasan meletus Oktober lalu.

Ekoran keganasan itu, pihak berkuasa Israel mengumumkan penutupan perkarangan Masjid al-Aqsa kepada pengunjung bukan Islam akhir Ramadan minggu depan. – AGENSI/AFP