Tindakan itu dilakukan selepas mendapat kelulusan Kabinet atas alasan untuk mengekang keganasan lebih buruk di wilayah berkenaan.

“Kabinet bersetuju melaksanakan beberapa pendekatan untuk ‘memerangi keganasan’ antaranya membenarkan polis menguatkuasakan perintah berkurung di Baitulmaqdis sekiranya perlu,” jelas Kabinet dalam satu kenyataan pagi ini.

Pendekatan lain termasuklah menempatkan tentera Israel di lokasi jaringan pengangkutan awam di seluruh Baitulmaqdis, penggunaan unit tentera untuk menyokong pasukan polis, boleh merobohkan kediaman pejuang-pejuang Palestin, dan menarik status penduduk tetap individu Palestin.

Ketakutan Israel juga terserlah apabila rejim itu mewujudkan pusat-pusat pemeriksaan keselamatan di timur Baitulmaqdis terutamanya di pintu keluar kampung-kampung dan kawasan penempatan penduduk Palestin.

Presiden pergerakan politik Inisiatif Palestin Kebangsaan, Mustafa Barghouti berkata, pendekatan itu hanya akan memakan diri rejim Yahudi kerana apa yang mereka jangkakan tidak akan berlaku.

“Perbuatan hilang akal Israel tidak memberikan apa-apa kesan, tetapi hanya mengundang perkara buruk. Apabila mereka memisahkan bahagian barat dan timur Baitulmaqdis, mereka sebenarnya memperlihatkan kegagalan mereka.

“Pembinaan tembok pemisah dan pos-pos kawalan hanya memburukkan keadaan,” katanya kepada Al Jazeera.

Jelas beliau, satu-satunya cara untuk menghentikan keganasan adalah dengan menamatkan penjajahan di wilayah Palestin.

“Perjuangan oleh penduduk Palestin akan berterusan. Kami sentiasa mahukan penyelesaian damai, namun Israel sering menggunakan kekerasan. Mereka membenarkan peneroka haram Yahudi menyerang penduduk Palestin,” ujarnya.