Lapor Al Jazeera, dalam sa­tu wawancara bersama New York Times, semalam David Friedman mendakwa sebahagian penjajahan Israel ke atas Tebing Barat adalah sah.

“Dalam keadaan tertentu, saya berpendapat Israel mempunyai hak terhadap beberapa kawasan di Tebing Barat dan bukan semuanya,” katanya.

Agensi berita Wafa pula me­laporkan, jurucakap kerajaan Palestin, Ibrahim Melhem mengutuk sekeras-kerasnya ke­nyataan yang dibuat Friedman itu.

Ibrahim berkata, kenyataan tersebut mencerminkan keangkuhan AS dan pada masa yang sama menyifatkan polisi asing dibuat AS didalangi barisan pelampau politik tidak matang seperti Jared Kushner, Jason Greenblatt dan Friedman.

Kenyataan kontroversi Friedman itu dijangka menguatkan lagi tentangan Palestin terhadap rancangan pendamaian AS yang telah ditolak lebih awal kerana dikatakan berat sebelah.

Komen Friedman itu me­ngandaikan pelan damai AS itu bergantung sepenuhnya sokongan kewangan yang dibiayai negara-negara Arab untuk ekonomi Palestin sebagai balasan kepada penyerahan wilayah dan negara.

“Perkara terakhir yang ingin dilihat seluruh dunia adalah kegagalan negara Palestin antara Israel dan Jordan.

“Mungkin mereka tidak bersetuju dengannya atau mungkin tidak memenuhi keinginan minimum mereka,” tambahnya.

Friedman yang menyokong penuh pendudukan Israel di tanah Palestin berkata, rancangan Presiden AS, Donald Trump yang bermatlamat untuk memperbaiki kehidupan warga Palestin akan gagal kerana tiada ketetapan bagi mena­ngani konflik yang berlaku.

Beliau bagaimanapun tidak percaya rancangan itu akan mencetuskan huru-hara dan pada masa yang sama mene­gaskan AS akan bekerjasama dengan sekutu Arab, Jordan ke arah rancangan tersebut.

Kira-kira 600,000 penduduk Yahudi kini tinggal di Tebing Barat, termasuk di Timur Bai­tulmuqaddis bersama ti­ga juga rakyat Palestin.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan, Mejar Je­neral Qadri Abu Bakr mengutuk kekejaman dilakukan Zionis terhadap tahanan Palestin.

Katanya, Israel melakukan kekerasan semata-mata untuk melunturkan semangat pat­riotisme tahanan sekali gus mencabul hak kemanusiaan tahanan Pa­les­tin.–AGENSI