Sekurang-kurangnya 26 orang cedera dalam serangan kumpulan pemberontak Houthi ke atas Lapangan Terbang Abha.

Lapor Gulf News yang memetik kenyataan tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi, bukti menunjukkan Pengawal Revolusi Iran sebagai dalang membekalkan senjata kepada kumpulan terbabit untuk me­lakukan serangan tersebut.

Katanya, tiga wanita dan dua kanak-kanak masing-masing dari Arab Saudi, Yemen dan India merupakan antara mangsa yang cedera.

Kata kenyataan itu lagi, serangan tersebut boleh dianggap sebagai jenayah perang.

“Serangan ini juga membuktikan kumpulan tersebut menyimpan senjata baharu, kesinambungan sokongn Iran yang menyokong amalan keganasan antara sempadan,” katanya.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengutuk sera­ngan tersebut dan menganggapnya sebagai satu keganasan untuk mengganggu keselamatan dan keharmonian serantau.

Mesir menyuarakan sokongannya terhadap Arab Saudi susulan serangan itu dan berikrar akan menentang apa sahaja cubaan untuk menyerang kerajaan itu. – AGENSI