Lapor Reuters, kumpulan perniagaan Palestin menegaskan sidang ekonomi yang berlangsung di Bahrain itu perlu diboikot.

Sesetengah penunjuk perasaan membakar lukisan Trump yang tertulis perkataan ‘ini perjanjian syaitan’.

Di Tebang Barat pula, penunjuk perasaan mengangkat poster menyokong Presiden Mahmoud Abbas selain membakar gambar Trump.

“Sidang di Manama adalah pertunjukan komedi, perkahwinan tanpa ada pasangan pe­ngantin (Palestin), ini tidak akan berjaya,” jerit seorang penunjuk perasaan, Siham di Gaza City.

Bagi Mahmoud Barhoush pula, dia tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis dengan tindakan ‘khianat’ beberapa negara Arab yang menghadiri sidang berkenaan.

Penunjuk perasaan lain turut mengecam tindakan seorang ahli perniagaan Palestin yang dinamakan sebagai antara tetamu dalam sidang itu.

“Sesiapa yang menghadirinya bukanlah orang Palestin dan tidak dialu-alukan di sini,” jelas aktivis Fatah, Maisoon Alqadoomi.

Dalam pada itu, Penasihat Kanan Trump, Jared Kushner menyatakan sukar untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel dengan mengguna pakai perjanjian ‘Inisiatif Keamanan Arab’.

“Saya fikir kita semua perlu mengiktiraf sekiranya wujudnya perjanjian, ini tidak akan selari dengan Inisiatif Keamanan Arab. Ini di antara Inisiatif Keamanan Arab dan kedudukan Israel,” jelas Kushner kepada al-Jazeera.