Di Indonesia, pihak berkuasa telah melakukan banyak tangkapan yang dikhuatiri akan membuka kepada tindak balas yang memberi kesan serius terhadap masyarakat dan pertubuhan agama di negara ini.

Imej negara ini sebagai negara yang mengamalkan sikap berto­leransi telah diuji beberapa bulan lalu apabila kumpulan-kumpulan konservatif mengeksploitasi media sosial untuk menyebarkan kenyataan palsu yang menyasarkan kumpulan minoriti.

Pihak polis telah menahan anggota kumpulan-kumpulan berkenaan yang didakwa menggunakan Facebook, Instagram dan Twitter untuk menyerang kerajaan dan menyema­rakkan fahaman agama melampau.

Menurut polis, dua daripada kenyataan palsu paling berbahaya yang dikeluarkan oleh kumpulan berkenaan mendakwa berpuluh-puluh pendakwah Islam telah di­serang oleh kumpulan berhaluan kiri dan Parti Komunis yang diharamkan kerajaan Indonesia kini dihidupkan semula.

Ketua Hal Ehwal Awam Polis Negara, Gatot Eddy Pramono berkata, kumpulan tersebut mahu menggugat kerajaan dan ‘mewujudkan konflik sosial’.

Pada bulan lalu, Kementerian Komunikasi Indonesia mengumumkan telah menghantar perisian baharu untuk mengenal pasti laman sesawang palsu.

Presiden Joko Widodo pula yang bergelut dengan dakwaan dalam internet menuduh beliau merupakan seorang komunis telah menubuhkan agensi keselamatan siber baharu pada Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Pusat Kecemerlangan Keselamatan Kebangsaan di Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam School (RSIS) Si­ngapura, Shashi Jayakumar me­negaskan, kempen berita palsu dan maklumat salah terancang telah mempengaruhi dan menggugat masyarakat.

“Penyerang akan berusaha ‘menarik keluar’ satu kumpulan etnik atau agama menggunakan media sosial dan maklumat salah dengan menggunakan isu sejarah dan budaya selain mencetuskan pergaduhan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain atau dengan kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, Singapura mungkin menjadi tempat ujian bagi tujuan subversif.

“Adalah suatu kesilapan jika menjangkakan perkara ini tidak berlaku di Singapura kerana ini merupakan ancaman berterusan dan semakin maju,” katanya. – AGENSI