India menerusi misi Chandrayaan-2 atau Moon Chariot 2 mahu menjadi negara keempat selepas Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mendaratkan kapal angkasa mereka di permukaan bulan bagi tujuan kajian.

Pengiraan detik pelancaran di Pusat Angkasa Satish Dawan telah dihentikan pada 56 minit dan 24 saat sebelum rancangan pelepasan pada pukul 2.51 pagi waktu tempatan.

“Masalah teknikal dikesan dalam sistem kenderaan pelancar pada T-56 minit.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pelancaran #Chandrayaan2 telah dihentikan untuk hari ini. Tarikh pelancaran baharu akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelas Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) menerusi ciapan dalam Twitter.

Pegawai pusat angkasa di sebuah pulau di luar pantai negeri Andra Pradesh berkata, masalah itu didapati berlaku pada sistem kenderaan pelancar.

ISRO bagaimanapun tidak memaklumkan tarikh pelancaran baharu roket tersebut.

Misi India itu semakin mendapat perhatian kerana tarikh pelancarannya, lima hari sebelum ulang tahun ke-50 angkasawan Amerika Syarikat, Neil Armstrong berjaya menjejak kaki ke bulan.

Kerajaan India membelanjakan kira-kira AS$140 juta (RM575.28 juta) bagi persiapan Chandrayaan-2 dan telah memuji misi itu sebagai antara yang paling murah.

Pendaratan di bulan dijadualkan akan dilakukan pada 6 September depan. – AFP.