India mendakwa kumpulan pengganas itu sedang bersiap sedia untuk melakukan sera­ngan terhadap India.

Stesen penyiar India, CNN-News 18 melaporkan, sumber pegawai tertinggi kerajaan mendakwa beratus-ratus militan termasuk 25 komandernya maut susulan serangan Tentera Udara India itu.

Namun Pakistan menolak dakwaan India bahawa sejumlah besar anggota kumpulan pemisah terbunuh dalam serangan udara itu.

Terdahulu, tentera Pakistan menegaskan jet pejuang India, Mirage-2000 melintasi ruang udaranya di Kashmir dan menggugurkan ‘muatan’.

Perkembangan terbaharu itu tercetus susulan insiden pengebom bunuh diri yang mengorbankan berpuluh-puluh tentera India di Kashmir baru-baru ini.

New Delhi berikrar untuk ber­tindak balas selepas kumpulan militan berpangkalan di Pakis­tan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.­

Setiausaha Luar India, Vijay Gokhale berkata, serangan dilancarkan di sebuah kem Jaish-e-Mohammad (JeM) yang me­ngaku me­lancarkan serangan pengebom bunuh diri itu.

“Sejumlah pengganas JeM, jurulatih, komander kanan dan anggota kumpulan itu yang dilatih untuk melakukan sera­ngan pengebom bunuh diri te­lah ‘dihapuskan’,” katanya.

Sementara itu BBC melaporkan, jurucakap tentera Pakis­tan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata, Tentera Udara India mencabuli Garisan Kawalan (LoC) antara kawasan pentadbiran Pakistan di Kashmir.

Ekoran itu kata beliau, Tentera Udara Pakistan terpaksa digerakkan segera sebagai maklum balas serangan.

“Apabila ber­de­pan dengan maklum balas efektif dan pantas, jet pejuang India tergesa-gesa melepaskan ‘mua­tan’ berhampiran Balakot sebelum lesap,” katanya.

Asif memberi­tahu, Balakot terletak di wilayah Pakistan dan tiada sebarang kecederaan atau ke­rosakan dilaporkan.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan apa yang dimaksudkan dengan ‘muatan’, sama ada dirujuk sebagai bom atau peluru berpandu.

Jurucakap tentera melalui Twitter menyiarkan imej ‘muatan’ yang dilepaskan oleh pesawat India itu. – AGENSI/AFP