Lapor Tribunnews, kawasan yang teruk terjejas adalah yang paling hampir dengan pusat gempa iaitu Nusa Dua, Jimbaran, Ungasan dan kawasan berhampiran.

Gempa itu turut mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang bergegas keluar daripada bangunan bagi menyelamatkan diri.

Mengikut pemantauan oleh Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Bali sehingga pukul 9.15 pagi waktu tempatan, kerosakan berlaku pada bangunan sekolah, pintu pagar dan kedai.

“Setakat pukul 9.15 pagi, lokasi yang terjejas adalah Sekolah Rendah Negeri 1 Ungasan, pejabat Camat Kuta, Sekolah Rendah 11 Jimbaran, Pagar ITDC, Hotel Mercure Nusa Dua dan Alfamart di Jalan Bali Cliff No. 48 Ungasan, Kuta Selatan,” kata ketua BPBD Bali I, Made Rentin.

Menurutnya, setakat pukul 10 pagi, BPBD Bali masih belum menerima sebarang laporan berkaitan mangsa yang terce­dera atau meninggal dunia.

Dalam pada itu, sebuah vi­deo yang tular dalam Facebook menunjukkan ribuan ikan terdampar di Pantai Canggu, Bali malam tadi, kejadian yang dianggap penduduk sebagai petanda gempa bumi, hari ini.

Dalam video dimuat naik oleh pemilik akaun, Made Putra Arimbawa itu, ikan kecil berkenaan dirakam terdampar di tepi pantai dan orang ramai mengambil ke­sempatan tersebut dengan memungut ikan terbabit ke dalam plastik. – AGENSI