Kebimbangan itu disuarakan ketika kuasa Barat mencabar Syria serta sekutunya iaitu Rusia untuk menghentikan serangan di hospital dan sekolah.

Bercakap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC), Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Mark Lowcock berkata, wujud kebimbangan terhadap situasi yang semakin tegang di Idlib sejak beberapa bulan lalu.

“September lalu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menegaskan adalah perlu untuk mengelakkan sebarang pertempuran di Idlib dan memberi amaran akan berlakunya bencana kemanusiaan yang tidak pernah kita lihat sebelum ini di Syria.

“Ketika saya di sini pada 18 September tahun lalu, saya berkata serangan ketenteraan berskala penuh akan mengakibatkan tragedi kemanusiaan paling buruk pada abad ke-21. Walaupun kami memberi amaran, kebimbangan terburuk kami telah menjadi realiti,” katanya seperti dipetik oleh al-Jazeera.

PBB memberi amaran seramai tiga juta penduduk berada dalam risiko ketika tentera Pre­siden Syria, Bashar al-Assad yang disokong oleh Rusia, melancarkan serangan.

Pertempuran di Idlib ‘mera­napkan’ rundingan gencatan senjata yang dipersetujui oleh Rusia dan Turki pada September tahun lalu.

Jelas Lowcock, lebih 180,000 orang kehilangan tempat tinggal dan kira-kira 160 terkorban sejak pertempuran tercetus tiga ming­gu lalu.

Selain itu, sekurang-kurang­nya 18 hospital dan klinik dimusnahkan atau rosak akibat bedilan udara dan pengeboman.

Tambahnya, sebanyak 49 pusat kesihatan terpaksa menghentikan operasi secara sementara kerana khuatir diserang.

Britain dan Amerika Syarikat (AS) menggesa agar serangan di Idlib dihentikan serta mendesak tentera Syria memberi jaminan kepada UNSC supaya situasi itu tidak diteruskan lagi.

Kira-kira 70 kumpulan bantuan kemanusiaan menggesa agar pertempuran di Idlib ditamatkan segera ekoran keadaan di wilayah berkenaan sudah mencapai ‘tahap krisis’.

Sebanyak 16 organisasi kemanusiaan terpaksa menghentikan operasi mereka.

“Mengebom hospital adalah satu jenayah perang. Komuniti antarabangsa sehingga kini gagal melindungi penduduk awam di Syria,” kata Pengarah Penyelidikan Amnesty International di Asia Barat, Lynn Maalouf.