Portal berita RT melaporkan bahawa kerajaan Palestin mengemukakan permohonan tersebut semalam.

Aduan setebal 14 muka surat itu mendakwa AS melanggar peraturan yang termaktub dalam Konvensyen Vienna dan Hubungan Diplomasi 1961 ke­rana menubuhkan bangunan kedutaan di luar kawasan negara tuan rumah iaitu Israel.

Laporan itu juga menyebut bahawa berdasarkan Pelan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1947 untuk penduduk Palestin, Baitulmuqaddis seharusnya diletakkan di bawah regim antarabangsa sebagai status corpus separatum, tetapi dirampas secara haram oleh Israel.

Sehubungan itu, AS tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menubuhkan bangunan kedutaannya di Baitulmuqaddis.

Selain itu, aduan tersebut turut menggesa ICJ untuk mengisytiharkan tindakan AS tersebut sebagai melanggar undang-undang diplomatik antarabangsa dan mengarahkan Washington menarik balik semua misi diplomasi dari Baitulmuqaddis.

AS membuka kedutaannya di Baitulmuqaddis pada Mei lalu selepas Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf wilayah itu sebagai ibu negara Israel.

Keputusan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuk Kesatuan Eropah dan berlaku beberapa tunjuk pe­rasaan secara besar-besaran di Palestin dan negara-negara Arab.

Presiden Pales­tin, Mahmoud Abbas sebelum ini me­maklumkan bahawa beliau ber­sedia mengheret AS ke ICJ berhubung dasar berat sebelah negara itu terhadap pelarian Palestin serta Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas pelbagai dakwaan termasuk melakukan jenayah perang, penghapusan etnik dan merobohkan kediaman penduduk Palestin.

Mahmoud juga menegaskan bahawa beliau akan menyaman AS mengenai keputusan negara itu untuk menghentikan sumbangan dana kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).