Perdana Menteri, Antonio Costa berkata, kebanyakan mangsa mati dalam kereta semasa cuba menye­lamatkan diri dari kawasan itu yang terletak kira-kira 200 kilo­meter dari bandar ini.

Enam anggota bomba dan penyelamat cedera parah manakala dua lagi hilang sementara seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang cedera ditemukan seorang diri berhampiran kawasan kebakaran.

“Kami menyaksikan tragedi yang sangat menyedihkan dan setakat ini 62 disahkan meninggal dunia na­mun jumlah kematian dijangka meningkat,” kata Costa.

Sehingga kini punca kebakaran masih belum diketahui walaupun terdapat andaian berpunca daripada petir namun kebakaran yang cuba dikawal oleh 1,700 anggota bomba semakin merebak berikutan cuaca panas dan angin kuat.

Akhbar Correio do Manha me­laporkan, banyak lagi kawasan yang mengalami kebakaran masih belum mendapat bantuan pihak berkuasa dan oleh itu angka kematian dijang­ka meningkat.

Kira-kira 60 kebakaran hutan berlaku di seluruh negara ini bermula semalam dan memusnahkan banyak tempat kediaman.

Sepanyol menghantar dua kapal terbang penyembur air bagi membantu mengawal kebakaran tersebut.

Terdahulu Setiausaha Dalam Ne­geri, Jorge Gomes memaklumkan, tiga mangsa mati akibat terhidu asap manakala 16 lagi mati dalam kereta masing-masing di jalan yang menghubungkan Figueiro dos Vinhos dengan Castanheira de Pera.

Portugal mengalami cuaca panas terik dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Datuk Bandar Pedrogao Gran­de, Valdemar Alves berkata, kawasan berkenaan sering mengalami kebakaran hutan namun tidak seteruk kali ini. – AGENSI