Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Chalermkiat Sriworakhan berkata pasukan polis dan tentera menyerbu 17 lokasi sekitar Daerah Waeng termasuk kediaman ahli Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Narathiwat berumur 58 itu yang kini diburu polis Thai dan masih bebas.

“Suspek merupakan antara pengedar dadah yang terbesar di selatan Thailand dan dipercayai berkait dengan sindiket pengedar dadah di Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bernama difahamkan pihak berkuasa Thailand menyerbu kediaman ahli politik tersebut dan menyita kereta serta motosikal mewah selain membekukan sembilan akaun milik suspek.

Ahli politik itu merupkan dalang yang membiayai penyeludupan 459 kilogram dadah ‘ice’ (crystal methamphetamine) pada 7 Julai lepas.

Polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli politik itu pada 12 Julai, selepas berjaya menahan empat lelaki di Bangkok dan Songkhla yang mendedahkan bahawa mereka dibayar untuk menghantar dadah berkenaan.

Pada 7 Julai, polis Thailand menahan dua lelaki berumur 33 dan 32 tahun di Bangkok bersama 459 kilogram ‘ice’ dalam trak pikap mereka.

Hari berikutnya polis menahan dua lelaki berumur 57 dan 51 tahun di sebuah stesen minyak di Songkhla, selatan Thailand. Kedua-dua suspek dari Waeng, Narathiwat itu sedang menunggu untuk mengambil dadah daripada suspek pertama.

Dadah itu dipercayai diseludup masuk ke Chiang Rai menerusi bandar Tachileik di sempadan Myanmar. -BERNAMA