Portal Daily Mail melaporkan, Adam Staples dan Lisa Grace dari Derby, menemukan hampir 2,600 keping duit syiling purba berusia 1,000 tahun di sebuah ladang di timur laut Somerset, Januari lalu.

Walaupun harta karun itu tidak banyak berbanding kha­zanah Staffordshires Hoard, koleksi terbesar duit syiling dan artifak yang ditemui di Britain, syiling di So­merset itu sekurang-kurangnya bernilai satu juta pound (RM5.15 juta) lebih mahal .

Sebanyak 2,571 duit syiling perak terdiri daripada duit syi­ling Raja Harold II dari era terakhir Anglo-Saxon England dan duit syiling William the Conqueror, selepas penaklukan Norman pada 1066.

Kebanyakan syiling itu dalam keadaan asal dan bernilai antara 1,000 pound hingga 5,000 pound (RM5,159 hingga RM25,798) setiap keping.

Beberapa pakar membe­ritahu, duit syiling berkenaan mungkin merupakan jumlah wang yang besar pada masa itu dan dimiliki oleh individu kaya yang bertindak menanamnya untuk disimpan dengan selamat.

Pasangan berkenaan juga memaklumkan pegawai tempatan berhubung penemuan duit syiling purba itu seperti mana diwajibkan undang-undang Britain selain menyerahkannya kepada Muzium Britain di London untuk dinilai.

Sementara itu, pakar muzium menghabiskan masa selama tujuh bulan untuk menilai dan mengkategorikan duit syiling tersebut dan akan mempamerkannya kepada umum buat pertama kali minggu ini.

Sekiranya penemuan itu diisytiharkan sebagai harta karun, terpulang kepada pihak muzium sama ada mahu memberi pampasan kepada Staples dan Grace berdasarkan nilai duit syiling tersebut sekali gus menjadikan mereka jutawan dalam sekelip mata. – AGENSI.