Bilangan pakar perubatan itu amat kritikal berbanding jumlah orang awam yang cedera seti­ap hari akibat serangan udara ber­talu-­talu ke bandar Aleppo oleh ten­tera Syria dan Rusia.

Mail Online melaporkan, sera­ngan yang tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda itu telah meragut nyawa hampir 100 orang kanak-kanak sejak Jumaat lalu.

CBS News memetik laporan pertubuhan perubatan, Doctors Without Borders (MSF), serangan sama ada melalui udara dan darat oleh tentera Syria dan Rusia mengakibatkan bahagian timur bandar Aleppo kini ha­nya mempunyai tujuh orang doktor bedah bagi merawat 250,000 penduduk yang terkepung di kawasan itu.

Pengarah MSF, Joanna Liu ber­kata, keadaan itu mengakibatkan doktor tidak menang tangan me­rawat pesakit yang terlalu ramai.

Satu klip video pada masa sama mendedahkan, doktor terpaksa melakukan pembedahan otak pesakit di atas lantai di sebuah hospital di Aleppo.

Liu turut menggesa Majlis Kese­lamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melarang pihak yang terbabit dalam pertempuran daripada menyerang sebarang kemudahan perubatan.

Bagaimanapun, perkara itu­ mustahil untuk dilakukan mengambil kira pendirian Rusia dalam kon­flik di Syria.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dijangka menamatkan rundingan dengan Rusia berhu­bung perkara tersebut selepas M­os­cow enggan menghentikan kempen ketenteraan di situ.

“Kita mungkin menangguhkan rundingan kerana mustahil untuk mencapai penyelesaian ketika serangan berterusan di Aleppo,” kata Setiausaha Negara AS, John Kerry. – AFP