Detik News melaporkan, Prabowo memberikan isyarat menunjukkan beliau bersedia untuk membantu pentadbiran kerajaan pimpinan Joko Widodo (Jokowi) manakala Sandiaga pula menegaskan bahawa beliau tetap akan menjadi pembangkang.

Prabowo menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama de­ngan kerajaan ketika mengadakan pertemuan dengan Jokowi semalam.

NOVEL BAMUKMIN
NOVEL BAMUKMIN 

“Menjadi Presiden itu bukanlah satu tugas yang mudah kerana Jokowi perlu memikul pelbagai masalah besar, namun kami sentiasa bersedia untuk membantu jika diperlukan, terutamanya dalam menjaga kepentingan rak­yat serta negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, pertubuhan Persaudaraan Alumni (PA) 212 mengesahkan bahawa mereka sudah tidak lagi bersama Prabowo dan akan meneruskan perjuangan tanpa pe­mimpin itu selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Jokowi.

Jurucakapnya, Novel Bamukmin berkata, Prabowo sudah membuat keputusan untuk menamatkan sengketa dengan Jokowi, maka PA 212 juga perlu membawa haluan sendiri.

YUSUF MUHAMMAD MARTAK
YUSUF MUHAMMAD MARTAK 

Sementara itu, langkah sama turut dilakukan oleh Gerakan Nasional Pengawal Fatwa (GNPF) yang mendakwa pihak­nya sudah tidak berada dalam barisan penyokong Prabowo.

Ketuanya, Yusuf Muhammad Martak berkata, langkah itu seiring dengan berakhirnya Pilpres 2019.

“Pilpres sudah selesai, maka peranan kami juga sudah selesai,” ujarnya. – AGENSI