Lapor Mirror Online, garis panduan WHO itu mencadangkan had masa selama 60 minit itu terpakai kepada kanak-kanak berumur antara dua hingga lima tahun.

WHO turut mencadangkan agar bayi tidak diajar untuk menonton televisyen atau bermain gajet sehinggalah mereka menjangkau usia dua tahun.

Garis panduan itu dikeluarkan bagi membantu penggubal dasar negara termasuk memberi nasihat berhubung aktiviti fizikal serta corak tidur bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

“Untuk manfaat kesihatan terbaik, bayi dan kanak-kanak perlu memenuhi semua saranan WHO bagi aktiviti fizikal, tingkah laku tidak sihat dan tidur dalam tempoh 24 jam.

“Menggantikan masa skrin secara sederhana kepada aktiviti fizikal yang berintensiti tinggi dan pada masa sama menjaga waktu tidur yang cukup, boleh memberikan manfaat tambahan kepada kesihatan,” kata garis panduan terbabit.

Tambah garis panduan itu, kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun perlu kekal aktif sekurang-kurangnya 180 minit dan tidur selama 11 hingga 14 jam sehari.

Selain itu, kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun perlu melakukan aktiviti fizikal selama 180 minit, termasuklah 60 minit aktiviti berintensiti tinggi dan tidur bagi tempoh 10 hingga 13 
jam. – AGENSI