Detik News melaporkan, mangsa maut selepas ditimpa runtuhan rumah akibat gegaran kuat tersebut ketika lebih 2,000 penduduk berpindah ke penempatan sementara.

Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), Rahmat Triyono berkata, kematian penduduk itu dilaporkan berlaku di Kampung Gane Luar ketika 160 rumah lagi roboh.

Katanya, kawasan kerosakan gempa itu meliputi mukim Gane Barat Utara, mukim Timur Selatan, mukim Gane Timur Tengah, mukim Gane Dalam, mukim Gane Barat Selatan dan mukim Gane Timur di daerah Halmahera Selatan.

“Sehingga pukul 1 pagi tadi (waktu tempatan), hasil pemantauan BMKG mendapati sebanyak 52 gempa susulan berlaku dengan 28 daripada gempa itu dirasai penduduk.

“Gempa itu dengan magnitud terbesar 5.8 magnitud dan terkecil 3.1 Richter,” katanya.

Terdahulu, gempa dengan magnitud 7.2 berpusat di timur laut Kota Labuha, Pulau Bacan berlaku pada pukul 4.10 petang semalam.

Sementara itu, Sekretariat Daerah Halmahera Selatan, Helmi Surya Batutihe memberitahu, penduduk telah dipindahkan di beberapa tempat yang jauh dari pantai.

“Beberapa tempat pemindahan sementara disediakan di Labuha iaitu Pejabat Datuk Bandar, Majlis Daerah, Masjid Raya dan tempat-tempat tinggi.

“Apa yang diperlukan mereka ini adalah khemah-khemah, selimut, tikar dan makanan,” jelasnya. – AGENSI