Gempa itu menggegarkan bangunan dan mengakibatkan bekalan elektrik di sebahagian tempat di Los Angeles terputus namun tidak mengakibatkan kerosakan besar atau kematian.

Pusat gempa cetek yang berlaku berhampiran sebuah bandar kecil, Ridgecrest kira-kira pukul 8.19 malam waktu tempatan itu disifatkan ahli seismologi sebagai ‘urutan’ gempa bumi.

Gegaran itu dirasai sejauh 240 kilometer dari Los Angeles ketika bomba mengerahkan jentera dan helikopter memeriksa kerosakan kediaman dan penduduk yang memerlukan bantuan.

Jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles, Brian Humphrey memberitahu, berlaku kerosakan wayar yang mengakibatkan gangguan tenaga elektrik di beberapa bandar di Los Angeles namun tiada kemusnahan teruk dilaporkan.

Jabatan Bomba San Bernardino berkata, anggotanya di timur Los Angeles menerima panggilan kecemasan termasuk seorang mangsa dilaporkan cedera ringan.

Sementara itu, ahli geofizik Zach Ross memberitahu, lebih 1,400 gegaran susulan berlaku selepas gempa kelmarin.

“Bencana seperti ini akan mencetuskan gegaran susulan untuk bertahun-tahun,” kata­nya. – AGENSI