Dilahirkan pada 21 Julai lalu, Garlic baharu lahir menerusi kaedah klon dicipta oleh firma China, Sinogene yang muncul syarikat pertama Beijing mengklon kucing.

Sekurang-kurangnya lebih 40 ekor anjing berjaya di klon syarikat itu, prosedur yang menelan belanja sebanyak 380,000 yuan (RM222,590) seekor manakala harga bagi seekor kucing menelan belanja 250,000 yuan (RM146,993).

Ketua Pegawai Eksekutif Sinogene, Mi Jidong berkata, di sebalik tanda harga yang dianggap mahal, kebanyakan pelanggan mereka bukannya golongan berpendapatan tinggi.

“Hakikatnya, sebahagian besar pelanggan adalah belia yang baru sahaja menamatkan pelajaran beberapa tahun lalu.

“Walau apapun jenis haiwan itu, pemiliknya menganggap mereka sebagai sebahagian ahli keluarga masing-masing. Pengklonan haiwan memenu­hi keperluan emosi generasi muda,” katanya.

Huang, 23, dalam pada itu nyata gembira apabila melihat kelahiran semula Garlic dengan menyifatkan persamaan antara kedua-dua ekor kucing tersebut adalah lebih 90 peratus.

“Semasa Garlic mati, saya sangat sedih. Saya tidak dapat menerima hakikat kerana kematiannya agak mengejut.

“Saya menyalahkan diri kerana tidak membawanya ke hospital tepat pada masanya mengakibatkan Garlic mati,” katanya.

Sementara itu, Huang berharap Garlic yang baharu memiliki personaliti yang sama dengan kucing berbulu putih dan kelabu lamanya dari segi penampilan. – AFP