Lapor CNN, gunung ter­tinggi dunia itu dipenuhi de­ngan pengumpulan sampah yang banyak termasuk najis dan mayat manusia dan akan bertambah serius jika tidak diselesaikan dengan baik.

Jumlah berat sampah yang berjaya dikutip itu bersamaan dengan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) atau badak air jantan dewasa. Seramai 14 orang ditugaskan untuk mengutip 10 tan metrik sampah dalam tempoh 45 hari. Sampah yang berjaya dikutip sepanjang kempen terbabit termasuk tin kosong, botol, plastik dan peralatan mendaki terpakai.

Selain itu, helikopter tentera turut membantu dalam usaha berkenaan dan pasukan tersebut dijangka mendaki ke kem lebih tinggi untuk me­ngutip sampah.

Dalam pada itu, pihak berkuasa berkata, sebanyak empat mayat telah ditemukan di gunung tersebut sepanjang kempen berkenaan.

“Pasukan kami kini telah tiba di Kem Pangkalan Everest untuk kempen pembersihan. Semua keperluan penting termasuk makanan, air dan tempat tinggal telah diatur di situ,” kata Pengarah Besar Jabatan Pelancongan Nepal, Dandu Raj Ghimire seperti dipetik oleh The Himalayan Times.

Menurut Persatuan Pendaki Puncak Everest, peningkatan mendadak pelancong dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini menyebabkan impak ketara terhadap persekitaran sensitif Everest.

Sejak 2011, usaha berteru­san telah dibuat untuk membersihkan beberapa tan sampah dari Everest dan sistem pengurusan bahan bua­ngan turut diperkenalkan.

Nepal juga memperkenalkan sistem deposit kepada pendaki pada 2014, dan deposit dikembalikan jika mereka dapat mengutip lapan kilogram sampah sewaktu tiba bawah gunung terbabit.