Al-Jazeera yang memetik Pengarah Amnesty Wilayah Timur dan Asia Tenggara, Nicho­las Bequelin sebagai berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan pertubuhan itu, dalam tempoh Mei tahun lalu hingga April ini, sebanyak 27 kematian direkodkan di wilayah Bulacan, luar Metro Manila.

Melihat corak ‘pembunuhan’ dalam kes-kes berkenaan, beliau menjelaskan, polis menggunakan pendekatan ‘buy-bust’ (operasi undercover) untuk mendapat justifikasi atas pembunuhan dengan mendakwa kononnya suspek bertindak menyerang dan mempertahankan diri sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan.

Bequelin memberitahu, siasatan yang dilakukan oleh kumpulan itu turut mendapati berlakunya gelombang pembunuhan di luar undang-undang dan perkara itu dianggap sebagai jenayah kemanusiaan.

“Hal demikian kerana pasukan keselamatan mempunyai senarai menyasarkan sesiapa yang disyaki menggunakan dadah dan proses itu dilakukan di luar perjalanan undang-undang,” katanya.

Jelasnya, perang dadah yang diperkenalkan oleh Duterte tiga tahun lalu merupakan usaha pembunuhan secara besar-besar yang menyasarkan penduduk miskin.

Sebelum ini, polis Filipina mengakui lebih 5,000 penduduk ditembak mati dalam separuh penggal pertama di bawah pentadbiran Duterte.

Namun kumpulan hak asasi manusia menyatakan lebih 27,000 penduduk dibunuh termasuk menggunakan polis ‘menyamar’ atau yang diupah oleh polis.

Tuntutan hak asasi manusia itu meningkat susulan ‘tragedi’ pada pagi 29 Jun lalu apabila sekumpulan 20 anggota polis menyerbu sebuah rumah dipercayai mengedar dadah di wilayah Rizal, timur Manila.

Dua suspek ditembak mati tetapi seorang pegawai yang menyamar dan anak perempuan berusia tiga tahun dari salah seorang suspek turut ditembak, dan kemudian meninggal dunia.

Polis berkata, suspek utama menggunakan anak perem­puannya, Myka Ulpina, untuk melindungi dirinya ketika ke­dua-dua lelaki itu melawan.

Myka adalah salah seorang daripada lebih 100 kanak-kanak yang terbunuh dalam operasi yang dikaitkan dengan perang dadah.