Kejadian berlaku beberapa hari selepas referendum kerajaan Bangsamoro mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di wilayah berkenaan.

Letupan pertama berlaku di dalam sebuah gereja di Jolo di kepulauan Sulu manakala insiden bom kedua berlaku di kawasan tempat letak kenderaan di luar premis ber­kenaan, menyebabkan tujuh anggota tentera antara yang terkorban.

Setakat ini, tiada pihak me­ngaku bertanggungjawab me­lancarkan serangan tersebut.

Jumaat lalu, majoriti penduduk wilayah selatan Fili­pina menyokong pembentukan kerajaan Bangsamoro pada 2022, sekali gus diharap dapat mewujudkan keamanan di rantau tersebut.

Referendum itu menyaksikan 85 peratus pengundi menyokong pembentukan kerajaan baharu tersebut biarpun mendapat bantahan sebahagian kecil masyarakat Sulu.

Dalam pada itu, Setia­usaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana menyelar serangan berkenaan yang disifatkan sebagai tindakan paling buruk dan menggesa penduduk tempatan bekerjasama dengan pihak berkuasa membendung kegiatan keganasan.

“Kami akan menggunakan semua kuasa untuk mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” tegasnya.

Jurucakap tentera, Kolonel Gerry Besana menyatakan, pemeriksaan terhadap bahan bom boleh menunjukkan pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

Ketua Polis Negara Fili­pina, Oscar Albayalde pula tidak menolak kemungkinan kumpulan pejuang Abu Sayyaf adalah dalang insiden berkenaan. – REUTERS