Menurut laporan Bloomberg, Khadem al Qubaisi yang sebelum ini pernah mengetuai syarikat International Petroleum Inventment Co. (IPIC), dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun.

Selain itu, Mohammed Badawy al-Husseiny, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan operasi syarikat subsidiari IPIC, turut dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun.

Selain itu, memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) sebagai berkata, kedua-dua mereka perlu membayar denda sebanyak AS$336 juta (RM1.4 bilion).

Menurut sumber dalaman mahkamah, hukuman tersebut tidak mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Dalam pada itu, peguam kepada kedua-dua tertuduh dan wakil Mahkamah Jenayah Abu Dhabi enggan memberi sebarang komen.

Tahun lalu, IPIC dan Aabar Investments didakwa di mahkamah selepas Goldman Sachs Inc dikatakan memberi rasuah kepada beberapa bekas pegawai kewangan kedua-dua syarikat terbabit.

Kesemua yang terlibat didapati ‘bersetuju untuk memanipulasi IPIC dan Aabar serta menyalahgunakan nama syarikat, rangkaian dan infrastruktur untuk melakukan jenayah dan kepentingan peribadi’. - AGENSI