Menteri Luar Bangladesh A.H. Mahmood Ali berkata, ramai pelari­an tidak mempunyai pilihan selain tinggal di tempat perlin­dungan sementara kerana keba­nyakan rumah mereka telah dibakar oleh tentera Myanmar sejak keganasan tercetus pada bulan Ogos lalu.

“Kebanyakan kampung telah dibakar jadi ke mana lagi mereka akan pergi? Tiada lagi rumah yang masih sempurna untuk mereka tinggal dan meneruskan hidup.

“Buat sementara waktu mereka terpaksa ditempatkan kem atau di tempat perlindungan sementara,” katanya.

Bangladesh dan Myanmar te­lah menandatangani perjanjian penghantaran pulang pelarian Rohingya pelarian Rohingya pada Khamis lalu.

Di bawah perjanjian itu, Myanmar harus memulihkan keamanan di Rakhine dan menggalakkan pelarian yang telah meninggalkan negara itu untuk kembali secara sukarela ke rumah mereka sendiri atau kawasan selamat terdekat pilihan mereka.

Kerajaan pimpinan Aung San Suu-kyi juga perlu memastikan mereka yang kembali ke Myanmar tidak akan diletakkan di tempat perlindungan sementara dalam tempoh yang lama dan mereka dibenarkan untuk bergerak bebas di Rakhine berdasarkan undang-undang dan peraturan sedia ada.

Dalam pada itu, Bangladesh dan Myanmar telah bersetuju untuk me­nerima bantuan dan pemantauan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi melaksanankan proses tersebut yang dijangka bermula dalam tempoh dua bulan lagi.

Perkara itu dilakukan berikutan desakan kumpulan hak asasi manusia Human Right Watch supaya agensi antarabangsa dibenarkan untuk memantau proses penghantara pulang pelarian de­mi memastikan keselamatan mereka.–AFP/REUTERS