Presiden Persatuan Sekolah Swasta Rakyat Wilayah Sempadan Selatan, Khadri Sin berkata, sekolah harus menjadi tempat selamat dan bebas dari segala ancaman dan keganasan.

Beliau, yang mengutuk insiden tembak seorang ustaz di kawasan sekolah pada Ahad lepas berkata, segala keganasan terhadap guru agama, kanak-kanak dan wanita harus dihentikan.

“Kami juga mendesak kerajaan Thailand memberi perlindungan kepada semua penduduk di selatan Thailand dan menjejaki dalang dalam insiden tembak (di sekolah pondok) untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lepas, Ustaz Sekolah Pondok Wattanatham Islam di Daerah Panare, Pattani, Yusuh Yala yang lebih dikenali sebagai Ustaz Salleh, 56, mengalami kecederaan apabila ditembak ketika dalam perjalanan ke masjid untuk solat Isyak.

Sejak keganasan di selatan Thailand pada 2004, tiga guru di sekolah pondok itu mati ditembak.

Ustaz, yang mengalami kecederaan di bahagian dada, itu kini menerima rawatan di Hospital Pattani dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Pusat Kedamaian Tentera Bahagian Ke-4 Mejar Jeneral Tira Daewa hari ini turut menziarahi Ustaz Salleh di hospital. - BERNAMA