Daily Mail melaporkan, Kacper Krauze menempuh detik hitam ketika mendayung bersama rakannya di River Eden, Cumbria, Februari lalu.

Menurut saksi, Krauze yang tidak tahu berenang dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika cuaca sejuk.

Selepas berjaya dibawa ke darat, anggota paramedik dari Great North Air Ambulance bertungkus-lumus menyelamatkannya.

Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital dan koma.

Krauze bagaikan ‘hidup semula’ selepas ibunya, Wioletta, 43, membawa deodoran kegemaran yang digunakan setiap hari oleh remaja itu.

Menurut ibunya, ini merupakan suatu keajaiban kerana mereka telah mencuba sedaya upaya untuk menyedarkannya seperti memainkan muzik dan bercakap selama berjam-jam.

Jelasnya, semua cara telah dicuba dan kemudian jururawat mencadangkan untuk dia membawa sesuatu yang sering digunakan anaknya selepas mandi.

“Sebaik saja saya menyembur deodoran kegemarannya, dia terus membuka mata dan mungkin teringat bau deodoran itu.

“Akhirnya dia tersedar, sesuatu yang amat mengejutkan,” katanya.

Sementara itu, Krauze memberitahu, dia tidak me­nyangka bau deodoran itu dapat menyedarkannya semula.

“Saya akan terus memakai deodoran itu, ini merupakan azimat tuah,” jelasnya.