Al-Jazeera melaporkan, se­ke­ping foto yang dikongsikan oleh kumpulan tersebut di pusat tanah tinggi di wilayah berkenaan jelas menunjukkan keanggotaan tiga orang kanak-kanak, muka dicalit dengan cat serta memegang senapang.

Jurucakap Tentera Pembebasan Papua Barat (WPLA), Sebby Sambom berkata, walaupun dia berasa bimbang tentang penglibatan kanak-kanak dalam kon­flik di wilayah itu, namun mereka tidak mempunyai pilihan selain mengangkat senjata.

Jelasnya, ketiga-tiga mereka yang berada dalam foto itu adalah remaja berusia 15 tahun.

“Bayangkan tentera menye­rang kampung, membunuh ibu bapa kami dan warga tua. Sebahagian daripada kami perlu mengangkat senjata bagi membalas dendam. Ini adalah situasi politik dan dunia perlu tahu tentang ini,” katanya sambil menjelaskan foto itu diambil di daerah Nduga, di mana ribuan orang dipaksa melarikan diri aki­bat pertempuran.

Kumpulan pemberontak Papua telah berjuang menuntut kemerdekaan selama hampir 50 tahun tetapi bukti terbaharu menunjukkan remaja juga turut bersama-sama berperang, mencetuskan kebimbangan da­lam kalangan pemimpin komuniti.

BALAS DENDAM, KEMISKINAN

Februari lalu, kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di London, Child Soldiers International (CSI) memaklumkan, jumlah tentera kanak-kanak yang direkrut meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kumpulan itu mengesahkan lebih 29,000 kes kanak-kanak direkrut menjadi pemberontak antara 2012 dan 2017 di 17 negara seluruh dunia tetapi tidak merangkumi Papua Barat kerana kawasan itu masih tidak boleh diakses oleh organisasi antarabangsa.

Beberapa pertubuhan lain pula meletakkan jumlah itu sebanyak ratusan ribu di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Inisiatif Tentera Kanak-Kanak Romeo Dallaire, Shelly Whitman yang menjalankan usa­ha menghentikan pengli­batan tentera kanak-kanak berkata, remaja di bawah 18 tahun se­ring terlibat dalam konflik kerana mahu membalas dendam atas kematian rakan-rakan dan keluarga tetapi juga disebabkan oleh isu kemiskinan dan kurangnya penguatkuasaan.

Tambah Whitman, tidak semua daripada mereka berada di barisan depan tetapi mungkin membekalkan makanan atau minuman untuk anggota pemberontak selain bertindak sebagai pengintip namun semakin lama menghabiskan masa de­ngan kumpulan pemberontak, semakin tinggi peluang untuk mengangkat senjata.

KEADAAN SEMULA JADI

Berbalik kepada Papua Barat, permusuhan antara puak juga memainkan peranan dalam pergolakan yang berterusan, menurut ahli antropologi dari Universiti Cenderawasih di Jayapura, Enos Rumansara.

Puak Kogoya dan Wenda menguasai Papua Barat selama beberapa generasi.

Benny Wenda yang melepaskan diri dari penjara di Indonesia pada 2002 dan kini hidup dalam buangan di Britain, mengetuai pergerakan kemerderkaan Pa­pua.

Bapanya yang juga ketua pemberontak, terbunuh pada 1997.

“Keadaan semula jadi membentuk karakter mereka dan mereka tahu budaya peperangan antara puak. Sehingga hari ini, perbalahan antara puak masih wujud. Puncanya boleh disebabkan oleh wanita atau pertikaian tentang hak tanah,” kata Enos sambil menambah penduduk asli Papua melihat Indonesia sebagai negara luar.

PECAHKAN KITARAN

Berdasarkan kepada kitaran pemberontak dan pemberontakan yang diwarisi, Whitman menambah, pelbagai pihak perlu melakukan usaha bagi memahami apa punca sebenarnya kanak-kanak terlibat dalam keganasan.

Pemimpin agama dan puak juga harus memainkan peranan membantu kanak-kanak dan menamatkan keganasan.

“Seseorang perlu pecahkan kitaran itu dan mencari haluan lain,” katanya.