Menteri Pengangkutan Israel, Yisrael Katz yang merupakan antara menteri yang rapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan itu pada perhimpunan parti pemerintah, Parti Likud yang dihadiri 2,000 aktivis parti itu di luar ladangnya di Moshav Kfar Ahim, utara Negev, semalam.

Portal berita The Jerusalem Post melaporkan Katz sebagai berkata: ``Penduduk Gaza perlu memutuskan sama ada mereka ingin menjadi Singapura atau Darfur.

``Mereka boleh memilih antara pemulihan ekonomi, perang dan kemusnahan. Jika mereka pilih perang, dunia tidak sepatutnya membazirkan duit, jika satu peluru berpandu dilancarkan, semua perkara sudah jadi sia-sia,'' katanya.

Katz berkata, jika rejim Zionis itu tidak melakukan apa-apa untuk melindungi diri, mereka akan dibunuh.

``Saya lebih suka 1,000 ibu penduduk Palestin menangis daripada mendengar tangisan seorang ibu Israel,'' ujarnya.

Sementara itu, Menteri Luar Norway, Boerge Brende berkata, sebanyak AS$5.4 bilion dana berjaya dikutip untuk menaja pembangunan semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel ke atas wilayah Palestin itu selama 50 hari pada Julai lalu.

``Penyumbang turut menggesa Israel dan Palestin melaksanakan usaha-usaha baharu bagi mencapai keamanan di rantau itu,'' katanya ketika membaca kenyataan penutup pada persidangan itu di Kaherah, semalam yang turut dihoskan bersama Norway. - AFP