Menurut CNN Indonesia, mereka dipercayai mengedar syabu seberat 81.8 kilogram dan 102,657 biji pil ekstasi berbentuk watak kartun Minion dan mainan Lego dari Malaysia.

Penangkapan tersebut melibatkan suspek, Tarmizi dan tiga isterinya, anak serta menantunya dalam perniagaan haram ber­kenaan.

Pengarah Tindak Pidana Pen­cucian Uang (TPPU) BNN, Brigedier Jeneral Bahagia Dachi berkata, Tarmizi merupakan penduduk Tanjung Balai, Asahan merupakan wakil pengedar dadah besar rangkaian Malaysia.

“Tarmizi ditangkap di rumah­nya di Deli Serdang dalam operasi BNN pada 2 hingga 3 Julai lalu.

“Pasukan BNN menyita 81.8 kilogram syabu dan 102,657 biji pil ekstasi manakala sembilan suspek ditahan,” katanya.

Pihaknya juga menyita wang hasil pengedaran dadah bernilai 2.5 bilion rupiah (RM735,486) termasuk aset seperti rumah di Tanjung Balai dan Medan serta enam kenderaan.

“Dia (Tarmizi) menunggu arahan daripada orang atasannya untuk mengedar dadah.

“Dalam TPPU, keseluruhan aset disita hampir berjumlah 6 bilion rupiah (RM1.76 juta),” jelasnya.