Demonstrasi yang sepatutnya aman bertukar ganas kira-kira pukul 3.30 petang waktu tempatan apabila ratusan penunjuk perasaan cuba menyerbu masuk ke dalam kompleks Majlis Legislatif (Legco), menyebabkan polis bertindak balas.

Penunjuk perasaan memakai baju berwarna hitam dan helmet bersama gogel mencemuh polis di luar kompkeks berkenaan.

Barisan hadapan penunjuk perasaan dengan memakai topi keselamatan dan gogel sambil menutup muka dengan topeng mengalihkan penghadang besi, mengabaikan arahan polis supaya berhenti.

Selepas beberapa kali cubaan gagal, penunjuk perasaan dapat memasuki perkarangan bangunan dan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menolak mereka ke belakang.

Terdahulu, pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan, jalan dan jejambat pejalan kaki sekitar bangunan Parlimen dipenuhi ribuan penunjuk perasaan manakala polis bersedia dengan kelengkapan rusuhan.

Tempoh 60 jam diperuntukkan bagi debat rang undang-undang itu dengan undian dijangka dibuat pada 20 Jun ini.

Perhimpunan besar-besaran itu dilancarkan selepas Parlimen yang majoriti ahlinya pro-Beijing bersedia untuk berdebat Rang Undang-Undang (Pindaan) Perundangan Berkaitan Penjenayah bagi Pesalah Buruan dan Bantuan Legal Bersama.

Rang undang-undang akan bacakan buat kali kedua diikuti penyemakan untuk memastikan jaminan hak asasi manusia yang lebih baik. – AFP