Satu siasatan bersama Guar­dian dan rakan antarabangsa termasuk Suddeutsche Zeitung dan New York Times mendapati, pelancong akan menjadi sasaran apabila mereka memasuki wilayah itu menerusi pintu sempadan Irkeshtam dekat Kyrgyztan.

Pengawal sempadan akan mengambil telefon pintar pelancong dan secara rahsia memasang aplikasi yang mengeluarkan e-mel, teks dan kenalan serta maklumat tentang peranti tersebut.

Menurut pelancong, mereka tidak diberikan amaran oleh pihak berkuasa lebih awal atau dimaklumkan tentang fungsi perisian tersebut atau maklumat mereka telah diambil.

Aktivis dari kumpulan Privacy International, Edin Omanovic menyifatkan penemuan Guar­dian itu amat membimbangkan di negara yang mana memuat turun aplikasi atau artikel beri­ta yang salah boleh mengakibatkan penduduk dihumban ke dalam kem tahanan.

Aplikasi yang dipercayai direka khas oleh syarikat China itu hanya menyasarkan telefon menggunakan perisian Android dan memeriksa senarai kan­dungan yang dianggap pihak berkuasa bermasalah.

Ini termasuk pelbagai terma yang dikaitkan dengan pelampau termasuk ‘Inspire’, majalah berbahasa Inggeris kumpulan militan al-Qaeda dan pengendalian senjata secara manual.

Aplikasi itu turut mencari pelbagai maklumat lain antaranya berpuasa di bulan Ramadan sehingga sastera Dalai Lama dan muzik oleh kumpulan metal Jepun, Unholy Grave.

Fail lain yang tersenarai dalam bahan larangan adalah buku ‘The 33 Strategies of War’ tulisan Robert Greene.

Kira-kira 100 juta orang me­ngunjungi Xinjiang setiap tahun menurut pihak berkuasa China dan senarai itu termasuk pelancong tempatan dan asing.

Menurut pelancong, ada di antara mereka diminta untuk menyerahkan telefon pintar masing-masing di pusat pemeriksaan dan telefon itu akan dibawa ke sebuah bilik ber­asingan sebelum dipulangkan kira-kira satu jam kemudian.

Bagi telefon iPhone, pihak berkuasa mempunyai alat pembaca yang mengimbas peranti itu manakala telefon Android memerlukan aplikasi untuk melakukan tujuan serupa.

Dalam kebanyakkan kes, aplikasi itu dipadam sebelum dikembalikan kepada pelancong namun ada beberapa pelancong mendapati aplikasi itu masih ada di skrin telefon mereka.

Bagaimanpun masih tidak jelas, ke mana semua maklumat yang ‘dirompak’ itu ditempatkan.

Walaupun tidak ada bukti menunjukkan data itu digunakan untuk mengesan individu dalam perjalanan mereka, maklumat yang dikumpulkan membolehkan pihak berkuasa mencari seseorang jika digunakan bersama dengan butiran lokasi telefon.

Sementara itu, penyelidik kanan di pertubuhan Human Right Watch, Maya Wang berkata, mereka maklum penduduk Xinjiang terutamanya etnik Muslim Turki menjadi mangsa pemantauan kerajaan sepanjang masa.

“Apa yang kamu jumpai melebihi daripada perkara itu, ia mencadangkan warga asing turut tidak terkecuali daripada pemantauan salah secara besar-besaran itu,” katanya. – AGENSI